KUALA LUMPUR: Individu yang bakal menerima suntikan vaksin AstraZeneca mulai esok, dilindungi insurans, sekiranya mengalami sebarang kesan sampingan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata hal itu kerana pemberian suntikan pelalian AstraZeneca ialah sebahagian daripada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Katanya, sebanyak 268,800 dos vaksin keluaran United Kingdom (UK) itu turut diberikan secara percuma kepada penduduk di Malaysia, termasuk warga asing yang menetap di negara ini.
“Ya, vaksinasi menggunakan AZ (AstraZeneca) dilindungi menerusi Dana Kecederaan Vaksin COVID-19.
“Meskipun AZ ditawarkan secara pengambilan sukarela, keseluruhannya ia masih sebahagian daripada PICK.
“Ia juga (diberikan secara) percuma kepada penduduk memandangkan ia sebahagian dariapda PICK,” katanya menerusi akaun Twitter, @Khairykj, Sabtu lalu. – BH
Ikuti perkembangan terkini, isu-isu hangat di Titiwangsa dan serata negara dengan melayari portal www.titiwangsatoday.com