We use cookies to ensure that we give you the best experience on our portal. If you continue to use this site we will assume that you are happy with it.

3 bulan APAD, JPJ selesai isu p-hailing

KUALA LUMPUR: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diberi tempoh tiga bulan untuk mencari penyelesaian kepada isu yang dibangkitkan dalam industri p-hailing.

Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR), Zulhelmi Mansor, berkata ia antara maklum balas segera yang dinyatakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, hasil pertemuan bersama penunggang p-hailing, semalam.

Beliau berkata, selepas tempoh tiga bulan itu, semua pihak terbabit akan kembali berbincang dengan komuniti p-hailing bagi menyelesaikan beberapa isu berbangkit dalam industri itu.

Dalam pertemuan itu juga, katanya Ka Siong turut meminta syarikat penyedia p-hailing menyelesaikan masalah yang timbul akibat ‘kegagalan komunikasi’ dengan penghantar.

“APAD dan JPJ diberi tempoh selama tiga bulan untuk melihat perkara itu dan kita akan bertemu mereka selepas tempoh berkenaan tamat.

“Kita juga faham masalah ini berlaku berikutan belum ada polisi undang-undang dan apa yang kita mahu adalah kompromi dan menggesa pihak syarikat untuk melihat semula kadar pembayaran itu dan menambah baik aplikasi.

“Kita juga mahu semua perkara harmoni dengan semua pihak,” katanya kepada BH, hari ini

Kelmarin, PENGHANTAR menyertai sesi dialog bersama Menteri Pengangkutan, selain menghantar memorandum mengandungi penyelesaian jangka pendek berhubung masalah berlaku dalam industri p-hailing.

Antara cadangan diutarakan demi kebajikan penghantar adalah harga lantai untuk caj penghantaran dan pengambilan pesanan.

Ia susulan kempen protes dilancarkan penghantar pada Jumaat lalu akibat tidak berpuas hati dengan potongan kadar upah perjalanan mereka.

Sementara itu, PENGHANTAR tidak menolak kemungkinan akan menyertai kumpulan penunggang p-hailing untuk berkumpul melakukan bantahan di Kementerian Pengangkutan (MOT) selepas cadangan oleh kementerian itu mahu mewajibkan pemilikan lesen kenderaan barangan (GDL).

Zulhelmi berkata, ahli persatuan marah dengan cadangan terbabit yang didakwa timbul secara tiba-tiba, iaitu ketika penunggang sedang dihimpit dengan bayaran upah yang didakwa tidak adil.

“Kami menyahut cadangan melakukan bantahan oleh ramai penunggang yang marah dengan cadangan GDL yang tiba-tiba muncul itu, sedangkan kami dan MOT bersemuka untuk berbincang mengenai isu lain yang lebih penting. PENGHANTAR akan bersolidariti bersama dengan penunggang,” katanya.

Mengulas mengenai GDL, Zulhelmi berkata, tidak sepatutnya penghantar di negara ini diwajibkan mendapatkan lesen yang diketahui disyaratkan kepada pemandu bagi kenderaan berat.

“Kita hadir bertemu menteri untuk memaklumkan permasalahan yang terjadi dalam industri p-hailing, tetapi dalam sidang akhbar, menteri memaklumkan akan mewujudkan penyelia di bawah MOT dan tiba-tiba mahu mensyaratkan lesen GDL kepada penghantar.

“Lesen GDL bukan keutamaan kami kerana isu yang ada adalah mengenai kadar harga dan upah yang makin berkurangan kepada kami dan lebih baik untuk kementerian memperkasakan skim keselamatan pekerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya.

Zulhelmi berkata, dalam pertemuan dengan MOT itu juga, mereka tidak dibincangkan mengenai GDL dan ia menyebabkan timbul perasaan kurang senang dalam kalangan wakil PENGHANTAR yang hadir.

“Kami berpandangan sama sendiri ketika itu dan hanya mendengar sahaja. Seolah-olah minta benda lain, dapat benda lain,” katanya.

Ikuti perkembangan terkini dan isu-isu hangat di Titiwangsa dan serata negara dengan melayari portal www.titiwangsatoday.com

By Atiqah Yunus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts

ms Malay
X