We use cookies to ensure that we give you the best experience on our portal. If you continue to use this site we will assume that you are happy with it.

Raja Azmi menangis Jerangkung Dalam Almari kutip RM1 juta

KUALA LUMPUR: Penerbit filem Jerangkung Dalam Almari, Raja Azmi tidak menyangka filem keenam terbitannya berjaya meraih kutipan RM1 juta dalam tempoh empat hari tayangan.

Filem bergenre seram arahan Shahdan Hashim dibintangi oleh Datuk Adi Putra, Hansul Rahmat, Sophia Albarakbah, Wan Hanafi Su, Anne Abdullah, Zaidi Omar dan Amerul Affendi itu mula ditayangkan sejak 4 Ogos lalu.

Raja Azmi berkata, dia tidak tahu bagaimana mahu mengungkapkan perasaan kerana ini kali pertama filem terbitannya berjaya mencecah kutipan RM1 juta sepanjang hampir tiga dekad bergelar penerbit.

“Saya menangis apabila diberitahu filem Jerangkung Dalam Almari berjaya mencecah kutipan RM1 juta dalam tempoh empat hari tayangan. Sebelum ini, lima filem terbitan tak pernah meraih kutipan sebanyak ini.

“Saya menangis dan melakukan sujud syukur filem Jerangkung Dalam Almari berjaya mengutip RM1 juta,” katanya.

Raja Azmi yang pernah menerbitkan filem Black Widow – Wajah Ayu, Cinta 200 Ela dan Haru Biru berharap, momentum penonton akan terus berkekalan sehingga filem habis ditayangkan.

Barisan pelakon filem Jerangkung Dalam Almari arahan Shahdan Hashim.
Barisan pelakon filem Jerangkung Dalam Almari arahan Shahdan Hashim.

Mengulas penerimaan baik terhadap filem bakal mencapai sasaran RM7 juta, Raja Azmi hanya menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Ilahi.

“Sebenarnya, angka RM7 juta sengaja saya sebut kerana membawa maksud baik dalam Islam iaitu tujuh langit dan lapisan syurga.

“Jika mampu mencecah RM7 juta semestinya saya bersyukur, tetapi sekiranya sasaran tidak berjaya pun tidak mengapa.

“Saya bukan terlalu mengharapkan. Seandainya jumlah penonton terus konsisten seperti minggu pembukaan, insya-Allah sasaran RM7 juta tidak mustahil dicapai.

“Cuma mungkin memerlukan masa selepas sebulan filem ditayangkan,” katanya.

Raja Azmi berkata, dia yakin kekuatan filem terbitan Akid Productions Sdn Bhd itu terletak kepada jalan cerita.

Namun, katanya, populariti teraju utama, Adi Putra yang mencipta sejarah menerusi filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan juga menjadi faktor menarik penonton ke panggung.

“Selain jalan cerita, saya melihat penampilan Adi dalam filem mempengaruhi penonton.

“Saya juga berterima kabin kepada pengedar filem, Empire Film Solution Sdn Bhd yang bekerja keras membuat promosi sehingga mendapat sambutan tidak dijangka.

“Saya tak berani meletakkan sasaran tinggi kerana filem ditayangkan di 80 panggung sahaja. Jika filem ditayangkan melebihi 100 panggung tak mustahil kutipannya bertambah lagi.

“Apapun, saya sudah bersyukur dengan pencapaian minggu pertama ini. Sebelum ini, saya pernah hampir menyerah kalah dengan penerbitan filem, tetapi Allah gantikan kesabaran dengan berita kutipan filem Jerangkung Dalam Almari,” katanya yang tidak akan serik untuk terus menerbitkan filem selagi hayat masih dikandung badan.

Jerangkung Dalam Almari mengisahkan kehidupan Fikri (Adi) tidak tenteram kerana sering diganggu jelmaan yang muncul dari dalam almari hingga mengancam nyawa isteri dan anaknya.

Berbekalkan ilmu dipelajari daripada Pak Hassan (Wan Hanafi Su), Fikri pulang semula ke rumah lama. Namun, terpaksa membuat perhitungan dengan abang, Ali (Hasnul Rahmat) yang menyimpan rahsia gelap di sebalik ancaman jerangkung dalam almari.

By Atiqah Yunus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts

ms Malay
X