We use cookies to ensure that we give you the best experience on our portal. If you continue to use this site we will assume that you are happy with it.

400 polis ditempatkan di perlawanan separuh akhir Piala FA

KUALA TERENGGANU: Seramai 400 pegawai dan anggota akan ditempatkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus bagi memastikan perlawanan separuh akhir Piala FA antara pasukan Terengganu FC menentang Selangor FC, Sabtu ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden kekecohan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din, berkata penugasan itu bagi menjaga serta mengawal ketenteraman awam dan keselamatan perlawanan bola sepak itu.

Beliau berkata, polis trafik juga ditempatkan untuk mengawal aliran trafik di sekitar kawasan stadium bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Penonton juga diingatkan untuk tidak meletakkan kenderaan dan menghalang jalan atau laluan ke kawasan pintu utama stadium.

“Kita memohon kerjasama semua pihak untuk mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur operasi standard standard (SOP) terhadap kawalan keselamatan di stadium seperti yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan akan dilakukan oleh petugas sebelum pintu masuk dan selepas memasuki stadium dengan melakukan pemeriksaan badan dan beg.

“Penonton tidak dibenarkan membawa masuk barangan terlarang seperti mercun, bunga api, suar, topi keledar, botol air , botol kaca, pemetik api, sebarang objek tajam seperti besi dan kayu dan senjata tajam seperti pisau, parang, gunting dan sebagainya ke dalam stadium,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rahim berkata, pihaknya turut menasihatkan penonton supaya tidak menimbulkan sebarang kekacauan dan kekecohan sebelum, semasa dan selepas perlawanan.

Tindakan undang-undang akan diambil kepada mereka yang ditangkap jika menganjurkan perhimpunan, perarakan atau membuat provokasi, pergaduhan, pertelingkahan atau nyanyian dalam bentuk sindiran atau hinaan.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk mematuhi segala arahan yang diberikan pegawai polis yang bertugas dan boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di talian 09-6322243 untuk sebarang pertanyaan,” katanya.

Hanya yang terkini di www.titiwangsatoday.com

By Atiqah Yunus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts

ms Malay
X