We use cookies to ensure that we give you the best experience on our portal. If you continue to use this site we will assume that you are happy with it.

Firdaus Wong Tegur Netizen Jadikan Minyak Upacara Sembahyang Bahan Lawak

Isu harga barang naik sememangnya sesuatu yang tidak digemari oleh semua masyarakat. Namun dalam menyuarakan ketidak puashatian janganlah sampai kita sebagai umat Islam menggunakan agama lain sebagai gurauan.

Terdapat keluhan dari pengguna yang terkejut harga terkini hampir mencecah RM50 bagi minyak masak botol lima kilogram (kg). Ada juga tindakan netizen bergurau berkenaan isu tersebut sehingga menyentuh sensitiviti agama.

Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung tampil menegur perbuatan mereka yang bergurau ‘berjaya’ membeli minyak masak dengan harga murah, sedangkan ia sebenarnya minyak untuk kegunaan upacara sembahyang bagi penganut bukan Islam.

Dalam hantaran di laman Facebook, beliau menasihati umat Islam supaya tidak menjadikan alat sembahyang penganut agama lain sebagai bahan gurauan.

“Saya faham situasi sahabat-sahabat dengan kenaikan harga barangan cuma saya ingin nasihati diri saya dan sahabat-sahabat yang beriman.

“Barangkali kita mahu bergurau tetapi Islam melarang kita untuk menipu walaupun ketika bergurau. Tertera jelas ‘minyak untuk sembahyang sahaja’ dan saya percaya admin page tersebut tahu membaca dengan baik”

Firdaus Wong Wai Hung

Firdaus Wong dalam hantaran itu turut memetik Nabi Muhammad SAW bersabda iaitu ‘celakalah bagi yang berbicara lantas berdusta hanya kerana ingin membuat suatu kaum tertawa, celakalah dia, celakalah dia’.

“Nasihat kedua ialah kita tidak suka orang menghina Islam atau menjadikan peralatan sinonim dengan Islam seperti songkok, kopiah, telekung, sejadah dan sebagainya sebagai alat gurauan. Maka kita juga tidak seharusnya menjadikan alat sembahyang penganut agama lain sebagai bahan gurauan kita.

“Prinsip saya tetap sama tanpa mengira siapa pun. Yang benar itu tetap benar dan yang salah itu tetap salah. Kita melihat prinsip bukan melihat siapa yang melakukannya,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial satu hantaran yang membuat jenaka dapat membeli minyak masak botol yang berharga RM9.90.

Bagaimanapun, gambar yang ditunjukkan bukan minyak untuk kegunaan memasak tetapi adalah minyak yang digunakan dalam upacara sembahyang bagi penganut bukan Islam.

Ikuti perkembangan terkini, isu-isu hangat di Titiwangsa dan serata negara dengan melayari portal http://www.titiwangsatoday.com

By Sarah Razlien

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts

ms Malay
X