We use cookies to ensure that we give you the best experience on our portal. If you continue to use this site we will assume that you are happy with it.

Bukan PDRM bocor gambar, video dera Bella

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini, diberitahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak membocorkan gambar dan video menunjukkan kecederaan remaja Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella didakwa dilakukan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Siti Bainun, Asiah Jalil, Juruanalisa Unit Siasatan Audio Video Makmal Forensik PDRM, Inspektor Mior Samsul Abd Rahman, berkata beliau tidak mengetahui gambar itu yang disebarkan aktivis, Mona Din di media sosial bersumberkan daripada mana.

Asiah: Tarikh laporan (analisis telefon bimbit) disediakan pada 9 Ogos 2021, betul?

Mior Samsul: Ya.

Asiah: Terdapat 12 muka surat mengandungi 12 gambar dan merujuk gambar tiga, lima, enam, 10 serta 12. Setuju dengan saya gambar ini (disebarkan) diambil dari video yang sama Inspektor buat analisis?

Mior Samsul: Saya tidak tahu gambar itu dari mana.

Asiah: Saya mohon Inspektor lihat pada tarikh status (media sosial) Mona Din pada 12 Ogos 2021, saya cadangkan ketika Inspektor buat analisis video dan sepanjang masa telefon bimbit berada pada pihak polis, setuju?

Mior Samsul: Ya, sepanjang masa diserahkan (telefon bimbit) kepada saya, memang ada.

Asiah: Saya cadangkan ada pegawai yang uruskan telefon bimbit itu, selain Inspektor dan bocorkan gambar ini kepada orang awam.

Mior Samsul: Tidak.

Pada 17 Jun lalu, Mahkamah Sesyen ditunjukkan dua rakaman video berdurasi enam minit 32 saat dan 41 saat dianalisis Mior Samsul, memaparkan kecederaan dialami Bella yang diselamatkan seorang saksi.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini, antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mior Samsul ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas pula berkata, siasatan forensik berhubung kes penderaan berkenaan dilakukan mengikut prosedur ditetapkan.

Saksi pendakwaan ke-10 itu berkata, barang kes iaitu satu kad sim Maxis dan telefon bimbit jenama iPhone juga diserahkan dalam keadaan baik serta berfungsi.

“Saya ada memberi keterangan sebelum ini bahawa pegawai dikenali Inspektor Farah menerima barang kes itu sebelum memeriksanya dan menyerahkan kepada saya.

“Saya guna komputer yang dalam keadaan baik dan lengkap dengan perisian berkaitan untuk menjalankan proses analisa.

“Komputer itu milik PDRM dan hanya penganalisa berkaitan yang boleh akses peralatan berkenaan. Semua perkara dimaklumkan mengikut pengetahuan dan semua dokumen dalam milikan saya,” katanya.

Dapatkan info terkini hanya diportal www.titiwangsatoday.com

By Atiqah Yunus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts

ms Malay
X