We use cookies to ensure that we give you the best experience on our portal. If you continue to use this site we will assume that you are happy with it.

Anugerah bakar semangat Cikgu Fazli

KUALA TERENGGANU: “Anugerah ini membakar semangat saya untuk terus membantu pelajar meningkatkan ilmu pengetahuan.

“Saya juga meletakkan harapan tinggi anugerah ini mampu menyuntik semangat warga pendidik lain untuk terus bekerja keras dan memberikan sumbangan terbaik dalam melonjakkan mutu pendidikan negara,” kata Muhd Fazli Dollah, 41.

Guru Biologi dan Sains dari Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) itu berkata demikian selepas menerima Anugerah Guru Ikon Pendidikan Digital dalam Majlis Apresiasi Pendidikan Digital Daerah Kuala Nerus semalam.

Anugerah itu diberikan kepada 10 guru daerah berkenaan yang menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran digital untuk membantu pelajar dan guru ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 2020.

Muhd Fazli berkata, idea menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran digital itu bermula selepas negara dilanda pandemik COVID-19 apabila pelajar tidak dibenarkan ke sekolah.

“Risau pelajar tidak mendapat ilmu yang secukupnya terutama bagi mereka yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kebetulan saya mengajar subjek Biologi dan Sains Tingkatan Lima, jadi saya mengambil inisiatif membina bahan pengajaran dan pembelajaran menerusi Youtube.com/cikgufazliebiosensei selain berkongsi nota dalam saluran Telegram,T.me/cikgufazliebiosensei.

“Saya tidak mengharapkan sebarang balasan hanya untuk berkongsi ilmu, tapi dengan anugerah yang diterima ini saya terkejut dan berasa dihargai lebih-lebih lagi saluran saya dikunjungi ribuan pelajar,” katanya yang tidak akan berhenti untuk berkongsi ilmu di saluran berkenaan.

Selain anugerah berkenaan, turut diberi penghargaan Anugerah Guru Pendidikan Digital Terbaik dan Anugerah Sekolah Model Pendidikan Digital yang dimenangi 10 sekolah iaitu Sekolah Sukan Malaysia Terengganu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kemunting, SMK Tengku Mizan Zainal Abidin, SMK Batu Rakit, SESMA, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gemuroh, SK Kompleks Seberang Takir, SK Seberang Takir, SK Batu Rakit dan SK Tok Jiring.

Majlis disempurnakan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Dapatkan info terkini hanya diportal www.titiwangsatoday.com

By Atiqah Yunus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts

ms Malay
X