Majlis Penulihan Negara (MPN) hari ini bersetuju dengan cadangan bagi membuka sempadan negara sepenuhnya menjelang 1 Mac 2022 kepada semua tanpa perlu menjalani proses kuarantin wajib.
Menurut pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pembukaan ini bermaksud mereka yang ingin memasuki negara ini tidak lagi perlu menjalani tempoh kuarantin wajib seperti yang dikenakan sekarang iaitu 7 hari bagi pengembara yang telah divaksin sepenuhnya dan 10 hari bagi mereka yang separa atau tidak divaksinasi.
Malah bagi mereka yang telah menerima dos penggalak pula, mereka perlu mematuhi tempoh kuarantin lima hari.

Perkara tersebut akan dilaksanakan dengan terancang selain perlu mengambil kira penilaian risiko semasa dan mereka yang ingin memasuki negara hanya perlu membuat ujian saringan Covid-19 sebelum berlepas dan sejurus tiba di pintu sempadan negara.
Tan Sri Muhyiddin turut menambah bahawa perkara ini disyorkan juga oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan difahamkan, walaupun kes harian menunjukkan peningkatan, namun strategi pemberian dos penggalak serta langah-langkah kawalan yang dilakukan KKM menunjukkan kesan positif.
Difahamkan, ketika ini terdapat pengurangan dan penurunan bagi kemasukan kes kategori 3 hingga 5 ke hospital.
Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai kadar vaksinasi tertinggi di dunia dengan 98% populasi dewasa telah mendapat vaksinasi dan lebih 78% populasi keseluruhan negara telah divaksin.
Difahamkan juga , sempadan Malaysia kini hanya dibuka kepada warga asing berdasarkan kes tertentu seperti kecemasan, urusan rasmi dan perkara lain yang berkaitan.
Ikuti perkembangan terkini, isu-isu hangat di Titiwangsa dan serata negara dengan melayari portal www.titiwangsatoday.com