We use cookies to ensure that we give you the best experience on our portal. If you continue to use this site we will assume that you are happy with it.

PAS TOLAK SEBARANG USAHA PENJAJARAN BAHARU DENGAN PH

KUALA LUMPUR: Pas tidak berminat dalam sebarang bentuk dan usaha ke arah ‘penjajaran baharu’ melibatkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau sekutunya.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan bahawa, Pas juga menolak sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang boleh merungkai perpaduan ummah yang telah sedia terjalin.

Takiyuddin menegaskan, Pas komited untuk terus memantapkan hubungan dan kerjasama dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) demi kelangsungan pemerintahan negara yang diterima majoriti rakyat.

“Pas amat yakin segala perbezaan, pertikaian serta salah faham yang wujud dapat diselesaikan dan diharmonikan oleh pimpinan parti-parti atas dasar ukhuwah dan kekeluargaan demi agenda kepentingan negara dan rakyat yang lebih besar.

“Pada masa yang sama Pas turut menekankan buat masa ini sewajarnya semua pihak memberikan sepenuh perhatian bagi menjayakan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam usaha memerangi wabak COVID-19 dan pemulihan semula ekonomi negara dengan sebaiknya.”

Takiyuddin menekankan, demi menjayakan usaha itu Pas akan meneruskan agenda memperkukuh perpaduan ummah yang menjadi asas kerjasama ketiga-tiga parti.

Tambah beliau, Pas akan terus berusaha memperkuatkan Muafakat Nasional, sekali gus mempertahan Perikatan Nasional (PN) di semua peringkat.

Mutakhir ini kerjasama antara tiga parti utama yang membentuk PN dilihat tidak kukuh apabila UMNO memutuskan untuk tidak menjalinkan sebarang kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Keputusan UMNO itu diperhatikan banyak pihak sebagai salah satu usaha untuk menjayakan penjajaran baharu dengan PH yang menjadi isu hangat baru-baru ini.

Ikuti perkembangan terkini, isu-isu hangat di Titiwangsa dan serata negara dengan melayari portal www.titiwangsatoday.com

By Faris Rifqi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts

ms Malay
X